Sunday, January 1, 2017

Tentang Hoshizora Astronomy Club



HOSHIZORA ASTRONOMY CLUB

            Hoshizora Astronomy Club merupakan sebuah kelab dan persatuan astronomi yang menghimpunkan para penggiat astronomi dan falak amatur yang terdiri daripada pelajar peringkat sekolah, mahasiswa, penjawat awam dan swasta dan pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai latar belakang. Kelab ini bertujuan untuk berkongsi ilmu astronomi, falak, teknologi angkasa lepas, astrofotografi dan sebagainya yang berkaitan. Selain berkongsi ilmu, kelab ini juga menghimpunkan para penggiat astronomi untuk melakukan aktiviti cerapan di lapangan.

            Istilah ‘Hoshizora’ diambil daripada bahasa jepun yang bermaksud ‘starry sky’. Kelab ini ditubuhkan secara tidak rasmi pada bulan Mei 2015. Pada awal penubuhannya, kelab ini hanya berwadahkan group whatsapp sahaja bagi berkongsi ilmu dan berita dunia astronomi. Seiring dengan peredaran masa, kelab ini mendapat sambutan para peminat astronomi dan menerima keahlian yang bertambah.

            Sesuai dengan perkembangannya, beberapa inisiatif diambil oleh beberapa ahli kelab aktif untuk memilih mereka yang berkelayakan untuk memimpin kelab ini. Pemilihan ahli Majlis Tertinggi dipilih secara undian melalui pencalonan oleh ahli-ahli kelab yang lain. Keputusan diumumkan pada Mesyuarat Agung yang pertama HAC pada 9 Oktober 2016. Mesyuarat ini dijalankan bagi membincangkan halatuju kelab pada masa akan datang.

            Dalam perkembangan yang sama, Hoshizora Astronomy Club telah menjalin kerjasama dengan Semeliang Resort, Kuala Nerang, Kedah dalam bidang Astrotourism, sebuah pelancongan berkonsepkan astronomi dan ‘million star hotel’. Mesyuarat pertama diadakan daripada kedua-dua belah pihak yang dijalankan di Semeliang Resort bagi membincangkan halatuju Astrotourism di Semeliang Resort disamping memperkenalkan astronomi dalam kalangan masyarakat.

            Hoshizora Astronomy Club telah berdaftar dengan Registry of Society (ROS) Kementerian Dalam Negeri pada 12 Januari 2017 sebagai kelab yang sah dan rasmi di peringkat kebangsaan. Inisiatif yang diambil menunjukkan usaha yang tinggi daripada kami untuk memupuk minat dan memberi kesedaran dunia astronomi dan falak kepada masyarakat untuk lebih mencintai ilmu sains dan teknologi. Ilmu astronomi tidak hanya terhad dalam bilik darjah. Ilmu astronomi juga ilmu sepanjang hayat. Keindahan langit malam untuk dikongsi bersama.

(Jazlan)
-Mantan Timbalan Presiden-

1 comment:

Jenis-jenis Juraian Meteor

Meteor Perseid di  Joshua Tree National Park kredit:  Brad Sutton (sumber: https://solarsystem.nasa.gov) Juraian meteor atau meteor ...